Wednesday, September 8, 2010

Ramadhan yang pergi



Rabu, 29 Ramadhan 1431H – 08 September 2010
Mala mini kami mengharungi akhir Ramadhan dengan penuh kesedihan. Solat Tarawih terakhir tahun ini diimami oleh pelajar-pelajar MTQ AdDin Malim Nawar dbawah bimbingan Ustaz Zul Aiman Haji Zakaria Al-Hafiz.

Rakaat pertama hingga keempat diimami oleh Adik Mohd Zaim Haji Zakaria dengan bacaan yang begitu jelas walaupun dialunkan dengan lagu taranum yang mampu menitiskan air mata para makmum. Adik Akmal Hafiz Azli meneruskan solatTarawih hingga akhir dengan bacaan yang sungguh mantap dan mendayu menggamit kesyahduan para jemaah Masjid Jamek Kampar meninggalkan Ramadhan ini.

Solat witir tiga rakaat diimamkan oleh putra kami, Anakanda Abu Daud Haji Rosli. Sekalung penghargaan kepada anak ini kerana mampu melaksanakan tugas tersebut dengan umur yang baru menjangkau 14 tahun. Diharapkan anak ini terus berusaha menggilap bacaannya supaya sebaris dengan abang-abang yang telah mantap diasuh di MTQ.

Ustaz Zul Aiman mengakhiri solat malam ini dengan bacaan doa widak tarawih. Kami pasti akan merindui bacaan ustaz muda yang berkumandang setiap malam di Masjid Jamek Kampar tahun ini. Tahniah kepada Opah Bibah yang giat berusaha membawa Ustaz Zul Aiman ke sini.

Selesai doa kami duduk menadah tazkirah yang disampaikan oleh AF Ustaz Khairul Subhi. Isi tazkirah malam ini begitu mantap dan mampu menjentik hati para makmum agar sedar akan hasutan syaitan yang mula mengintai untuk melencongkan manusia ke arah maksiat pasca Ramadhan.

Doa kami agar semua jemaah terus istiqamah menjaga taqwa yang ditanam di dalam sanubari sepanjang Ramadhan tahun ini, Janganlah disia-siakan segala usaha murni yang telah dipupuk dengan unsur kemaksiatan menjelang fajar Syawal nanti !

No comments:

Post a Comment